Sudah berapa tahun, batu ini berada di rumah saya. Itu pun, sejak terpesona  buat pertama kali melihat batu granit ini di tepian pantai, daerah Kuantan.  Masa tu saya aktif menjadi blogger dengan review produk di blog. Jadinya, memang tengah gila mengumpul prop selain saya membeli di kedai RM 2 tu. Produk yang shoot tengah hari atas batu memang cantik. Dari situ lah saya terjatuh cinta dengan batu tersebut, dan tidak tahu pula batu tersebut mempunyai penghuni

 

 

 

batu-granit
Inilah batu granit yang diambil. Bila dibawah pancaran matahari, sangat cantik. Berkilat

 

 

 

Lokasi batu yang saya kutip ini, tempatnya suram dan sunyi. Walaupun ketika itu, tengah hari. Tiada satu pun kereta yang berhenti untuk beriadah. Jika kalian nak tahu, lokasinya lebih jauh daripada Pantai Sepat. 

 

Di tepian pantai, terdapat rumput yang subur. Kehijauan dan nampak bersih sangat. Tidak sangka pula mempunyai penghuni pada pada tersebut. 


Saya kira-kira, batu tersebut berada bersama saya sejak 2019. Masa saya ambil tu, anak nombor 3 masih baby. Mujurlah tiada apa-apa yang serius kepada anak-anak. 



Cerita seram bermula 


Pertama sekali, bermimpi pontianak. Makhluk tersebut  mahu menangkap saya serta menghisap darah. Cerita penuh pontianak

 

Selama batu tersebut berada di rumah saya, memang banyak kejadian aneh berlaku terhadap diri saya dan keluarga. 

 

Batu tu saya jadikan penyendal pintu pagar saya. Oh, ya. Buat pengetahuan para pembaca, batu ni memang sangat berat. Saya kena pegang 2 belah tangan untuk mengalihkannya. Mungkin dalam 2 kilogram beratnya. 

 

Oleh sebab, saya dah tidak mengambil lagi kerja review produk yang perlu tangkap gambar tu. Saya letakkan sahaja di luar rumah. 

 

 

Belakang rumah 

 

 

Belakang rumah saya, memang tidak buka pintu setiap petang. Kawasan belakang rumah juga bahagian dapur saya memasak. Dapur basah saya.


Pernah juga bermimpi beberapa kali mengenai Pontianak ini berada di pintu dapur saya memasak. 

 

 

Buat pengetahuan pembaca juga, di bahagian depan parking rumah saya ada menanam pokok bidara dan limau kasturi memandangkan saya kerap didatangi mimpi makhluk halus.

 

 

Mengandung anak nombor 4, lelaki

 

Sewaktu saya mengandungkan anak nombor 4, emosi saya sangat tidak stabil.  Kejadian pelik, yang saya pernah alami ialah saya rasa sayu sewaktu hendak memasak di dapur. 


Perasaan ganjil dimana : seolah-olah  mahu menangis, menangis bukan biasa-biasa, tapi mendayu dalam hati, kemudian mahu mengilai ketawa. Entahlah. 


Masa tu, saya mesej beritahu kakak. Dan, kakak berpesan supaya banyakkan zikir dalam hati dan berselawat tanpa henti. Dan, bila saya ikuti apa yang diajarkan oleh kakak semua perasaan itu hilang. 



Mengandung anak nombor 6 


Saya mengandung kembali, selepas jaraknya hampir 8 bulan keguguran kali pertama. Sewaktu saya mengandungkan kandungan ke-6, didatangi dalam mimpi oleh  seorang perempuan berambut panjang yang tidak dikenali saya sendiri.


"awak mengandung." Sambil menunjukkan paparan janin dalam rahim.


Wajahnya agak menyeramkan dengan bermata buntar dan bercelak hitam pekat. Berambut panjang dan berpakaian kurung hitam. Wanita tersebut memberitahu bahawa saya mengandung. Dan selepas 2 minggu bermimpi tersebut, saya memang disahkan mengandung. 


Dalam saya bergembira kerana berbadan dua, tiba-tiba saya teringatkan mimpi tersebut. Saya memberitahu kepada suami bahawa, saya sudah mendapat mimpi yang mengatakan saya mengandung. Masa ni, saya langsung tidak terfikir kaitan dengan batu yang saya ambil tersebut selama beberapa tahun. 



Keguguran kali ke-2


Kandungan hanya bertahan selama 7 minggu sahaja ketika itu. Betapa sedihnya kami sekeluarga. Termasuk anak-anak yang lain. 


Sebelum keguguran berlaku, perempuan yang sama datang ke dalam mimpi. Dia juga memberitahu bahawa saya sudah keguguran. 


Saya juga memberitahu kepada suami, mak dan abah berkenaan perkara ini. Lantas, membawa saya berjumpa dengan ustaz.


Apa yang lebih memeranjatkan saya, anak sulung juga pernah memberitahu ada sesuatu yang menyorok di bilik stor belakang yang kosong. Bukan sekali ternampak, malahan beberapa kali. Cuma, dia senyapkan sahaja. Risau kalau saya dan adik-adiknya ketakutan. 


"rambut dia panjang, kembang sampai ke lantai. Muka hitam."- kata anak Sulungku Sara.

 

 

Throwback sebelum berjumpa ustaz

 

Peha dan belakang badan saya sering dicakar. Kadang-kadang 2 garis kuku, kadang tu cakaran besar 4 jalur garis di atas belakang. Setiap kali mandi, mesti terasa pedih. Yang tu, memang dapat tahu lah ada benda cakar kalau mandi

 

Paling teruk, setiap kali sebelum period saya dah bermimpi pontianak. Sekarang ini, setiap kali mandi sewaktu period saya akan campurkan garam kasar bersama daun bidara 7 helai atay 9 helai sebagai pagar diri beserta bacaan pagar diri Ayat Qursi,  dan yasiin 9.

 

 

Ketika berjumpa ustaz

 

Makhluk tersebut mengaku pernah hisap darah saya melalui kaki.  Patutlah ada tanda kat situ.

 

 

Berlawan 

 

Paling teruk saya bermimpi, ketika  benda tu menangis-nangis. Kemudian, saya cakap "Aku haramkan kau hisap darah dari tubuh badanku!" kemudian, dalam mimpi saya bacakan surah ayat Qursi dan potongan ayat-ayat yang Ustaz berikan kepadaku sebagai pendinding diri.


"Auzubika lima hittamattah, min qulli syaitonni wahamma tinn, Qulli a'inni lammah."


Masa saya bacakan dalam mimpi, tak sangka pula suami terkejut disebelah. Tak sangka suara saya kuat kumat-kamit membacanya. 


Selepas kejadian, keesokan harinya saya mengambil keputusan untuk menghantar batu granit tersebut ke tempat asalnya. Alhamdulillah. 



Sewaktu saya menghantar batu granit tersebut ke tempat asalnya pada tahun 2023, lokasi pun sudah tidak seram seperti dahulu. Dan, ada dinaikkan sebuah hotel disana. 

 

Berbalik kepada cerita, sewaktu pulangkan batu granit  tersebut saya menjatuhkan batu tersebut selepas membaca surah al-falaq 3 kali dan ayat Qursi.  Ada suara yang mengucapkan terima kasih. Dan, bukan saya seorang yang mendengarnya. Tetapi anak sulung yang dalam kereta pun turut mendengarnya. Seram tak weiiii? walhal, suami dan 3 orang anak yang lain tidak dengar pun. Masa pulang dari lokasi tersebut, jam sudah pun menunjukkan angka 6.30 petang. 


Sebelum pulang ke rumah, kami perasan cermin depan ada darah berbentuk cap jari. Terus kami singgah basuh di stesen minyak di bandar Kuantan. Singgah makan malam dan barulah pulang ke rumah. Alhamdulillah, semoga tiada lagi menganggu keluarga kami hendaknya. Semoga dalam lindungan allah selalu.


Sebenarnya, cerita ini lebih seram dan panjang. Tapi saya pendekkan sahaja jalan ceritanya. 


Kesimpulan dari cerita saya alami ini, pembaca saya jangan pula sesekali mengambil barang bukan hak milik kita. Walaupun ia cantik dan tidak bertuan. Saya pasti, ada sesuatu yang menjaganya.