Ujian Allah dengan pelbagai perkara , termasuk melalui makhluk halus

Ada masa saya letih sebab seakan mahu berputus asa dan penat dengan ujian. Rasa macam nak lari daripada ujian yang Allah hadirkan kepada saya. Ujian ini bukanlah melibatkan mata kasar.


 Bermula daripada usia 5 tahun, mata saya dapat melihat makhluk halus. Tetapi bukan setiap masa, ada masa tertentu. Saya bersyukur, apabila menginjak dewasa mata saya sudah tidak melihat makhluk halus, namun deria seperti pendengaran sensitif dengan benda-benda begitu. 


Astagfirullahaladzim. sebelum tersasar jauh, baiklah perlu balik kepada Allah semula. 



Dalam saya seronok menikmati dengan pelbagai  ghostwriting job , saya dan keluarga tidak terlepas dengan ujian Allah. Saya kira, berat sebab ia menganggu kehidupan. 


ujian-allah-ghaib







Oleh kerana semasa kecil dan sehingga dewasa saya begini. Sebaiknya saya mendiamkan diri.  Dan, apabila saya meluahkan kepada mak, ayah, adik-beradik dan ibu saudara semuanya menyalahkan saya kerana berfikir saya terlalu banyak menonton cerita seram dan cerita saya adalah tahyul belaka. Sehinggakan sepupu sendiri pun gelakkan saya. 




Orang tua 


Paling kelakar, mak saya. Dalam tidak percaya tapi mak tetap tanyakan saya juga jika ada bermimpi apa-apa pelik. Berlainan pula dengan abah, jika saya ceritakan kepadanya hanya mendiamkan diri sahaja. Jika tidak diam, karang risau dimarahinya pula. Abah kadang-kala kelakar, ada masanya tegas. 



Mimpi 


Entah lah apa nak kata. Sebagai contoh, mimpi saya kadang membawa petunjuk. Pernah saya bermimpi berada di rumah yang mempunyai palang kayu di bumbung dengan dipenuhi ular-ular pelbagai saiz. Selepas sebulan bermimpi, adik saya berpindah rumah kampung. Nah! ternyata rumahnya mirip sekali dengan mimpi saya. Ini bermakna, roh saya keluar dulu kot pergi ke rumah adik. 


Kali pertama jejakkan kaki ke rumah tersebut, kepala saya seakan mahu meletup apabila memasuki ke ruangan dapur. Seakan ada sesuatu menekan. Lantas, saya bercerita kepada mak mengenai mimpi tersebut. 


"Ishh awak ni kaklang, ada pula cerita gini. Ngarut jer." Ujar mak. 


"Tak mak, memang macam ni lah sebiji. Dengan ada palang kayu, rumah batu bercampur papan separuh. Pastu ada ular bergayut-gayut kat palang ni ha." Saya menunjukkan isyarat dengan jari telunjuk ke arah tersebut.  



Dalam tidak percaya, ada riak risau pada raut wajah mak. 


"Ok lah mak. Jangan cerita kat Eti pula. Kang dia ketakutan. Kot ni mainan tidur kaklang je bulan lepas" Bisik aku kepada mak kali ini. 


"Nape?" Soal Eti, adik bongsuku. 


"Takde apa lah. Saja aku cakap kat mak, rumah ni sejuk." Aku menukar jalan cerita segera supaya tidak menakutkannya. 



Mimpi dibawa ke alam nyata


Kemudian, nak dijadikan ceritanya. Alangkah terkejutnya mak, apabila adik bongsuku Eti menceritakan kepada mak bahawa rumahnya dimasuki ular. Dan, diluar rumah juga ada ular. Paling mendebarkan, ada ular juga dalam lubang tandas cangkung. Dikatakan kerap rumahnya didatangi ular. 


Akhirnya, saya membuka cerita sebenar kepada adik. Mengatakan bahawa pernah bermimpi rumah ini dipenuhi ular yang bergayut di palang-palang kayu rumah. Gangguan demi gangguan berlaku di rumah adik. 


Paling menakutkan, di depan rumahnya mempunyai pokok besar dan tempat persinggahan pontianak. Pokok besar tersebut juga mempunyai pokok tumpangan langsuyar. Alhamdulillah, kini rumah adik telah pulih dengan izin Allah. 


Adakah kerana mempunyai kaitan dengan jiran sebelah, wallhualam. Selepas jirannya berpindah keluar dari kawasan tersebut gangguan hilang. Tiada lagi kejadian seram berlaku. 




Ujian lain 


Rumah kami, selepas 11 tahun tidak sangka ada makhluk yang menumpang. Apabila benda halus menumpang, tiada pula makanan di rumah saya basi. 

 Boleh dikatakan setiap hari kedengaran bunyi guli, paip tanda dibuka, bunyi ketukan seperti menukang, lesung bergolek, dan pintu grill sliding kami dilanggar sekuatnya semasa maghrib sehingga bergegar satu rumah. 


Jika sekadar bunyi sahaja, tidak mengapa. Tetapi sehingga makhluk tersebut sudah berani mencakar belakang badan, kadang-kala dada, begitu juga tangan anak nombor 2 dan bongsu di belakang badan. Suami pun pernah terkena, tetapi dia tidak percayakan. 



Gangguan ini datang, bukan bermakna saya suami dan anak-anak tidak solat dan membaca al-quran. Entah lah, mana datang semua ini. Ianya bermula dari selepas Asar. 


 

 


Bunyi-bunyian sering menganggu kami dan aktif tepat jam 1.00 pagi sehingga 3 pagi. Bunyi guli bertaburan di lantai, bunyi mengetuk dinding agak seram kerana jika ada antara ahli rumah takut, bunyi tersebut semakin kuat sehinggakan dinding bilik kami seakan mahu runtuh.


Saya pernah cabar benda tu, kemudian saya bacakan ayat-ayat suci al-quran. Semakin dialunkan bacaan, semakin kuat bunyi tersebut mengusik. 


Dan, akhirnya saya sudah dapat kawal makhluk yang mengusik itu dengan membaca :


“La ilaha illallah wahdahu la syarika lahu lahul mulku wa lahul hamdu yuhyi wa yumit, wa huwa ‘ala syai’in qadir.”



Maksudnya: “Tidak ada Tuhan Selain Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya segala kekuasaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.”



Syarat bacaannya perlu yakin setiap kali lantunkan bacaan ini. Semasa bacaan, meremang tengkuk juga ketika itu. Sementara mahu tunggu suami balik daripada outstation, maka saya perlu kuat untuk melindungi anak-anak dengan izin Allah. Nanti mahu panggilkan ustaz untuk adakan sedikit bacaan di rumah kami.